Mekanik maut dihempap kereta

Bayan Lepas: Mekanik meninggal dunia selepas dihempap kereta di sebuah bengkel di Jalan Bayan Lepas, Kampung Bukit, di sini, malam tadi.

Mangsa yang berusia 31 tahun disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang tiba di lokasi.



Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.54 malam.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru yang diketuai Hemrizal Che Morad ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan.





“Ketika tiba di lokasi, didapati, mangsa dipercayai dihempap kereta semasa sedang melakukan kerja pembaikan.

“Anggota bomba menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit di bawah kenderaan berkenaan,” katanya di sini, hari ini.




Jurucakap berkata, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan sebelum kes diserahkan kepada polis bagi tindakan lanjut.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) dan operasi tamat pada 1.05 pagi,” katanya.