Mati ‘disembelih’ dua rakan guna kunci

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki mati dikelar di leher oleh dua orang rakannya menggunakan kunci dalam satu kejadian yang berlaku di sebuah hotel di bandar raya ini, semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kes itu berjaya diselesaikan dalam masa kurang satu jam selepas ia berlaku setelah kedua-dua suspek berjaya ditahan pada pukul 10 malam.

Beliau berkata, suspek berusia 23 dan 31 tahun itu ditahan ketika hadir ke balai polis.





“Hasil siasatan awal yang dijalankan mendapati kejadian yang berlaku kira-kira pukul 9.30 malam itu bermula daripada pergaduhan di hotel tersebut.

“Siasatan yang dijalankan mendapati bahawa mangsa dan suspek adalah rakan. Punca kes itu berlaku masih dalam siasatan.

“Soal siasat dijalankan terhadap kedua-dua suspek ditangkap itu, suspek mengaku telah membunuh mangsa berusia 34 tahun di tempat kejadian dengan menggunakan kunci,” katanya dalam kenyataan hari ini.





Ayob Khan berkata, hasil pemeriksaan yang dibuat, kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah.

Katanya, kedua-dua suspek ditahan reman lima dan tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan dijalankan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman mati. -UTUSAN