Dijel lapan tahun gara-gara rompak RM70

KUALA TERENGGANU- Seorang penganggur dijatuhi hukuman lapan tahun penjara dan dikenakan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa kerana merompak wang tunai RM70 milik seorang warga emas sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan, pada April lalu.





Hakim Nooriah Osman membuat keputusan itu terhadap tertuduh, Budiyono Udin, 35, dari Kampung Binjai Bongkok, Bukit Payong, Marang selepas mengaku salah mengikut pertuduhan di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan rompakan dan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa, Ngah Taib, 79, serta mengambil wang tunai RM70 milik mangsa.




Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan sebuah rumah di Kampung Telaga Mengkudu, Bukit Payong, Marang lebih kurang jam 9.30 pagi, pada 24 April lalu.

Dengan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan hendaklah dikenakan denda atau sebatan, jika disabitkan kesalahan.