Bomba berjaya gagalkan cubaan bunuh diri

Cyberjaya: Wanita warga tempatan diselamatkan anggota bomba daripada cubaan membunuh diri di tingkat 37 Menara Apex, hari ini.

Dalam kejadian 3.40 petang itu, wanita berusia 30-an itu berdiri di luar balkoni kediamannya dan dipercayai mahu terjun.




Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cyberjaya, Zainudin M Yasin berkata, pihaknya tiba di lokasi pada 3.50 petang bersama dua pegawai dan empat anggota.

Beliau berkata, apabila bomba sampai, seorang wanita dipercayai rakan kepada wanita mahu terjun itu berada di dalam rumah dan membantu bomba masuk ke kediaman itu.





“Wanita berkenaan berada di balkoni dan menghadap ke bahagian dalam rumah dan kami mula memujuknya.

“Bagaimanapun, dia terus memusingkan badan ke arah bertentangan untuk terjun dan kami mengambil masa kira-kira lima minit untuk memujuk dan berjaya memegang serta menariknya.

“Wanita itu dipercayai mempunyai masalah rumah tangga menyebabkan gangguan emosi tidak terkawal dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.