1.9 juta banduan dibebaskan dalam tempoh 10 tahun

KUALA LUMPUR: Seramai 1,940,579 banduan sudah dibebaskan dari 2011 hingga 1 Oktober lalu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said berkata, semua banduan itu diberikan latihan kemahiran dan pemulihan supaya apabila keluar penjara mereka mempunyai keupayaan untuk menyara hidup tanpa diskriminasi.

Bagi tujuan itu, katanya, tiga program diperkenalkan Jabatan Penjara Malaysia iaitu Program Jalinan Kasih; Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) dan Banduan Kemahiran Luar Penjara (BKLP).



“Program Jalinan Kasih adalah inisiatif Jabatan Penjara untuk memperkukuhkan ikatan kekeluargaan di antara penghuni dan keluarga mereka supaya tidak tersisih bukan saja sewaktu sedang menjalani hukuman dan pemulihan di dalam penjara bahkan setelah dibebaskan kelak.

“Pelaksanaan program ini adalah secara bersemuka dan fizikal di antara banduan dan ahli keluarga bagi meningkatkan hubungan silaturahim dan penerapan emosi membabitkan banduan yang hukuman pendek dalam tempoh setahun,” katanya menjawab soalan Sivakumar Varatharaju Naidu (PH-Batu Gajah) pada sesi soal jawab lisan, di Dewan Rakyat, hari ini.

Sivakumar mahu mengetahui jumlah banduan yang keluar dari penjara selepas tamat hukuman dari tahun 2011 sehingga 2021 serta usaha kerajaan untuk memastikan bekas banduan ini diterima oleh keluarga dan masyarakat serta mempunyai keupayaan menyara hidup tanpa diskriminasi.

Ismail berkata, PBSL adalah keistimewaan yang diberi kepada banduan yang sudah memenuhi syarat yang ditetapkan mengikut Seksyen 43 Akta Penjara 1995 dan Peraturan 111 Peraturan Penjara 2000.





Melalui PBSL, katanya, seseorang banduan dapat mencari peluang pekerjaan di samping berusaha menjalinkan hubungan kekeluargaan semula.

Bagi BKLP, katanya pendedahan awal kepada banduan yang diluluskan melalui Program Pembangunan Insan (PPI), khususnya banduan hukuman lama.

“Program ini adalah satu kaedah integrasi ke dalam masyarakat sebelum mereka dibebaskan sepenuhnya di samping memulihkan kepercayaan terhadap diri dan masyarakat,” katanya.

Beliau menjelaskan, sepanjang menjalani proses pemenjaraan dan pemulihan, banduan akan mengikuti pelbagai program latihan kemahiran bersijil di dalam penjara dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Kementerian Sumber Manusia.

“Sebahagian daripada latihan berkenaan membabitkan penyertaan banduan yang akan dilatih seterusnya akan menghasilkan sendiri beberapa produk seperti produk tenun, songket, pastri, makanan sejuk beku, kuih raya, perabot, ukiran kayu dan pelbagai produk lagi.




“Kemahiran dalam bidang ini dapat membantu seseorang banduan mencari pekerjaan dalam sektor yang bersesuaian sebaik sahaja selesai menjalani hukuman,” katanya.

Bagi kepentingan pemulihan dan asimilasi semula ke dalam masyarakat, katanya Jabatan Penjara juga memperkenalkan program Corporate Smart Internship (CSI) iaitu kerjasama dengan syarikat swasta bagi memberi peluang untuk Orang Diparol (ODP) menyertai sektor pekerjaan.

“Antara syarikat yang telah menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Penjara seperti syarikat Panasonic, BOUSTEAD Berhad, Tradewinds Corporation Berhad, FELDA, FELCRA dan syarikat Mamee,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Sivakumar usaha memasarkan produk batik yang dihasilkan banduan, katanya sememangnya produk batik antara program yang dilaksanakan selain tenun Diraja yang dinaungi Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

“Kita juga sudah mengadakan perbincangan dengan beberapa kementerian untuk bantu memasarkan produk pembuatan dihasilkan banduan termasuk Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi untuk membantu kumpulan berkenaan,” katanya.