[VIDEO] Serang dua beranak gara-gara parit, 3 ditahan polis

TELUK INTAN, PERAK: Polis menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan terhadap kejadian khianat dan ugutan jenayah terhadap dua beranak di sebuah kebun sawit berhampiran Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Labu Kubong di sini pada Rabu.

Tangkapan ke atas suspek berusia 47 tahun dan dua lelaki berusia 28 tahun itu dijalankan oleh pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak pada jam 4.05 petang pada Sabtu.


Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, kejadian itu dipercayai berlaku selepas suspek tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa berusia 24 tahun yang mengorek jalan untuk dijadikan parit.

Menurutnya, mangsa telah memaklumkan parit dibuat dalam kawasan kebun pisangnya yang seluas 1.8 hektar itu untuk dijadikan saliran berikutan tanah itu telah dinaiki air.

“Semasa mangsa dan bapanya tiba di kebun mereka dapati laluan yang digali pada sebelah pagi telah ditimbus oleh suspek dan beberapa individu lain.





“Mangsa menjelaskan kepada suspek tujuan laluan itu digali dan akan meletakkan ‘culvert’ dalam masa beberapa hari, namun suspek tidak berpuas hati sehingga berlaku pertengkaran mulut sebelum dia menampar leher mangsa.

“Jengkaut yang digunakan suspek telah melanggar kereta Ford Ranger milik mangsa sehingga kenderaan itu mengalami kerosakan sebelum suspek turun dan mengejar bapa mangsa sambil memegang tukul besi,” katanya di sini.

Ahmad Adnan berkata, lokasi kejadian merupakan laluan utama bagi pekebun-pekebun kelapa sawit di kawasan berhampiran.





“Disebabkan parit di gali di tengah jalan, maka ia menyukarkan pekebun sawit yang lain kerana terpaksa menggunakan laluan jauh untuk pergi kebun mereka.

“Bertindak atas maklumat, ketiga-tiga suspek diberkas polis dan reman akan dipohon di Mahkamah Majistret Teluk Intan pada Ahad,” katanya.
Jelasnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 323/427/506 Kanun Keseksaan kerana mencederakan, khianat dan ugutan jenayah.