[VIDEO] Remaja hampir pitam sebab tak sarapan

Melaka: Rakaman video seorang remaja lelaki yang hampir pitam selepas didakwa baru menerima suntikan vaksin Covid-19 yang tular di media sosial, disahkan berlaku di negeri ini.



Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri Datuk Rahmad Mariman ketika dihubungi mengesahkan kejadian berlaku di Pusat Pemberian Vaksin PPV (PPV) Encore, Klebang di sini, hari ini.

Beliau berkata, pelajar ini mengalami pening kerana tidak bersarapan sebelum mengambil suntikan vaksin.





“Memang ada kes pelajar ini pening, difahamkan kerana tidak bersarapan kerana takut.

“Namun selepas diberikan makan, dia berada dalam keadaan baik,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, video pendek berdurasi 36 saat tular di media sosial memaparkan remaja berkenaan itu dipapah seorang lelaki dalam keadaan lemah dan hampir pengsan selepas menerima suntikan vaksin.





Dia kemudian dibawa oleh anggota Rela bertugas masuk ke dalam PPV untuk menerima rawatan.