[VIDEO] Belum ada laporan polis kejadian wanita ‘jatuh’ dari kereta

Shah Alam: Polis meminta orang awam tidak membuat sebarang spekulasi tanpa fakta tepat susulan tular seorang wanita terjatuh dari kereta di Jalan Unisel, Seksyen 7, di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, siasatan mendapati kejadian video tular itu itu berlaku pada 2.40 petang membabitkan kereta Perodua Myvi.




“Siasatan awal mendapati dalam video itu, pemandu Myvi terbabit memperlahankan kenderaannya serta memasang lampu kecemasan ketika menghampiri persimpangan lampu isyarat di Jalan Unisel itu.

“Secara tiba-tiba, seorang wanita membuka pintu dan terjatuh di atas jalan ketika kereta Perosua Myvi itu masih bergerak perlahan.





“Setakat ini, semakan mendapati tiada laporan polis dibuat mana-mana individu berhubung kejadian video yang tular ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, beliau meminta wanita serta pemandu kereta berkenaan diminta membuat laporan polis untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, saksi awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta menyalurkan kepada polis untuk membantu siasatan.





Katanya, orang ramai disarankan untuk tidak membuat sebarang spekulasi tanpa fakta kes tepat terhadap video berkenaan.