Selamat tinggal MotoGP – Hafizh

PETALING JAYA: Selepas lapan tahun bersaing dalam Kejuaraan Motosikal Dunia, pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah mengesahkan musim ini adalah tahun terakhirnya beraksi dalam perlumbaan berprestij itu.



Menurut pelumba kelahiran Ampang berusia 27 tahun itu, dia sudah sedaya upaya cuba mendapatkan keputusan terbaik bersama pasukan NTS RW Racing GP, namun ia tidak berjalan seperti diharapkan.

Kata Hafizh, ada beberapa faktor yang mendorongnya untuk berundur sambil menyifatkan perkara itu sesuatu yang sukar tetapi terpaksa dilakukan.





“Saya sebenarnya sudah buat sehabis baik dengan jentera saya. Mungkin saya dan pasukan tak dapat nak cari cara mana lagi untuk meningkatkan prestasi jentera,” katanya dalam satu perkongsian video malam tadi.

Kata Hafizh kekangan kewangan kerana terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sendiri antara punca dia perlu memikirkan semula mengenai masa depannya dalam perlumbaan MotoGP.

“Saya tahu ramai masih berharap saya kekal tetapi saya perlu fikirkan masa depan dan mungkin akan buat benda yang lain,” katanya.