Pindah rumah, tinggal babi peliharaan

Simpang Ampat: Penyewa rumah teres dua tingkat di Tasek Mutiara di sini, tergamak meninggalkan dua ekor babi peliharaannya di kawasan kediaman sebelum berpindah.

Tindakan itu menyebabkan kejiranan di kawasan perumahan kurang senang malah pemilik membiarkan babi itu kelaparan tanpa makanan.



Penduduk yang mahu dikenali sebagai Ima berkata, babi itu ditinggalkan sejak Jun dan perkara itu hanya disedari penduduk pada September lalu.

Katanya, bukan saja menimbulkan rasa kurang senang malah kebersihan kawasan sekitarnya juga diragui.

“Walaupun tidak bersetuju dengan tindakan memelihara babi di kediaman, jiran berhampiran terpaksa memberi makanan kerana kasihankan pada haiwan itu yang kelaparan.

“Aduan kepada pihak pengurusan perumahan sudah dibuat bagi membolehkan tindakan lanjut diambil termasuk menghubungi pemilik rumah.

“Namun, sehingga hari ini haiwan berkenaan masih berada di perkarangan rumah malah pihak pengurusan memberi alasan isu itu dalam pengetahuan mereka dan tindakan sedang dijalankan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.





Menurut Ima, dia kesal tindakan pihak pengurusan yang dilihat seolah-olah tidak memandang serius masalah itu sekali gus menyebabkan masalah berkenaan berlarutan.

Dia yang sudah dua tahun tinggal di situ berkata, pihak Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) juga sudah tampil ke lokasi semalam selepas aduan dibuat.





“Difahamkan notis saman turut dikeluarkan kepada pemilik kediaman berkenaan dan pemilik rumah diberi tempoh selama tiga hari bagi memindahkan haiwan itu.

“Sekiranya masih tiada tindakan, kami memohon kepada MBSP supaya memindahkan haiwan itu menggunakan peruntukan undang-undang sedia ada, bukan saja bagi kesejahteraan kejiranan tetapi kebaikan haiwan itu juga yang perlu dijaga.

“Perkara ini perlu ditangani segera kerana babi bukannya boleh dijadikan haiwan peliharaan di kawasan perumahan masyarakat majmuk dan diharap jadi pengajaran supaya ia tidak berulang lagi di tempat lain,” katanya.