Penganggur didakwa bunuh ibu bapa sendiri

LIPIS – Seorang penganggur berdepan hukuman mati apabila didakwa di Mahkamah Majistret Lipis di sini pada Khamis atas dua pertuduhan membunuh ibu bapanya pada 4 Oktober lalu.

Tertuduh, Ahmad Hafizuddin Mohammad, 31 beralamat Kampung Kemahang, Benta di sini kelihatan tenang dan menganggukkan kepalanya tanda faham selepas kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Siti Aisyah Ahmad.


Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes berkenan di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Bagi pertuduhan pertama, Ahmad Hafizuddin didakwa telah membunuh Mohammad Maasai, 68, di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Kemahang, Benta antara jam 11 malam hingga 12 tengah malam pada 4 Oktober lalu.

Ahmad Hafizuddin turut didakwa membunuh Zailan Zainudin, 64, di rumah serupa antara jam 11 malam hingga 12 tengah malam, pada hari yang sama.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.




Terdahulu Sepasang suami isteri warga emas maut dipercayai ditetak anak lelaki mereka dengan menggunakan parang di sebuah rumah di Kampung Kemahang Hulu, Benta dekat Kuantan malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Pahang Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata kejadian dipercayai berlaku pada kira-kira 10.30 malam ketika suspek berusia 31 tahun itu dikatakan sedang berbual bersama bapa dan ibunya yang berusia 68 dan 64 tahun.

Beliau berkata ibu suspek yang merupakan seorang pesara kemudian masuk ke dalam bilik meninggalkan suspek bersama bapanya yang berbual mengenai ilmu agama dan ketuhanan.




Katanya suspek dipercayai secara tiba-tiba bertindak mengambil parang di dalam bilik lalu menetak dan menikam bapanya yang merupakan seorang pengawal keselamatan, di bahagian kepala dan bahu.

“Ibu suspek yang melihat kejadian tersebut, pergi menghampiri suaminya untuk membantu namun suspek telah menyerang mangsa (ibu) dengan menetak dan menikamnya di bahagian leher serta kepala.

“Mangsa kemudian terus melarikan diri keluar dari rumah sebelum ditemukan rebah di atas tanah berhampiran pagar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Yusri berkata suspek yang tidak bekerja telah bertindak keluar rumah dalam keadaan berlumuran darah dan ditahan oleh penduduk kampung sebelum diserahkan kepada polis.