Pegawai SPRM kes curi RM25j disyaki edar dadah

PETALING JAYA: Siasatan melibatkan seorang pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dikaitkan dengan kehilangan duit barang kes bernilai RM25 juta kini diletakkan di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) kerana disyaki turut terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah.

Berikutan itu, sumber memberitahu Utusan Malaysia, penahanan pegawai gred 44 sejak 21 September lalu disambung 28 hari lagi selepas polis menerima maklumat baharu mengenai penglibatannya dalam pengedaran dadah.




Kata sumber itu, siasatan kini dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Bukit Aman.

“Siasatan kini menjurus kepada aktiviti pengedaran dadah yang dilakukan oleh pegawai SPRM berkenaan.

“Ujian air kencing mendapati pegawai terbabit positif dadah jenis methamphetamine, amphetamine dan benzo,” katanya semalam.





Mengikut rekod, pegawai kanan berkenaan adalah salah seorang daripada tiga pegawai SPRM yang disiasat berhubung kehilangan barang kes membabitkan duit RM25 juta milik bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid.

Dalam perkembangan lain, satu sumber berkata, SPRM masih menunggu arahan daripada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP) sama ada untuk menuduh ketiga-tiga pegawai kanan SPRM.




“SPRM juga dalam usaha memperoleh beberapa lagi penyata daripada pihak bank membabitkan aset-aset semua pegawai terlibat.” jelasnya.

Kontroversi salah guna kuasa tiga pegawai itu tercetus susulan wang RM25 juta milik bekas Hasanah yang disita SPRM tiga tahun lalu didakwa hilang. – UTUSAN