Kebenaran rentas negeri diumum dalam masa terdekat – PM

Kuala Lumpur: Kerajaan akan memberikan kebenaran aktiviti merentas negeri secara serentak di seluruh negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu akan diputuskan dan diumumkan dalam masa terdekat.





“Tunggulah saya umum, suspen sikitlah. Saya yakin tak lama, kita tunggulah.

“(Pelaksanaan) Serentak seluruh negara. Sebab itu saya kata dulu apabila 80 peratus, walaupun janji peringkat awal 80 peratus, tetapi program vaksinasi di negeri masih lagi di peringkat rendah antara 60 dan 70 peratus.

“Kalau kita buka seluruh negara, mungkin akan berikan kesan tak baik kepada negeri yang kurang dari segi peratusannya, tetapi kalau 90 peratus, kita jangka purata negeri sudah melebihi 80 peratus,” katanya selepas Prapelancaran #Keluarga Malaysia di Wisma Angkasapuri RTM di sini, hari ini.




Turut hadir, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim serta barisan jemaah menteri.

Malaysia kini sudah mencapai 89.1 peratus kadar vaksinasi lengkap dewasa.

Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dilaporkan berkata, kerajaan yakin baki 0.1 peratus lagi dapat dicapai satu atau dua hari lagi.

Kebenaran rentas negeri antara paling ditunggu rakyat Malaysia selepas sekatan dikenakan bagi mengawal penularan Covid-19.