Exco Selangor minta maaf isu video tular maki kakitangan JPS

SHAH ALAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning, V Ganabatirau tampil memohon maaf berikutan satu video tular pada Sabtu yang memaparkan beliau meninggikan suara kepada kakitangan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor.



Kejadian tersebut berlaku ketika beliau meninjau kawasan banjir di Taman Sri Muda, di sini pada Sabtu.

Beliau menerusi satu sidang akhbar di pejabatnya di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini pada Isnin mengakui tidak bermaksud untuk meninggikan suara kepada kakitangan berkenaan.





“Sebelum ini ada dua pam air di Taman Sri Muda, satu daripadanya telah rosak tapi tak diganti semula.

“Jadi saya tanya kepada mereka (JPS) bila pam air itu mahu dipasang semula, tetapi tiada jawapan daripada mereka dan saya tidak berpuas hati dengan reaksi tersebut.

“Sepatutnya mereka (JPS) menjawab bahawa perkara itu akan dikaji semula dan disiasat, bukannya sekadar faham sahaja,” katanya.





Dalam pada itu, Exco Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin Selangor itu turut menempelak sikap kakitangan yang tidak memberikan respons sewajarnya berkenaan isu banjir di kawasan terbabit.