[VIDEO] Pengantin patah tulang belakang selepas dilambung rakan

Bucharest: Kegembiraan seorang lelaki di Romania menyambut hari bahagianya sebagai raja sehari bertukar tragedi apabila tulang belakangnya patah selepas dia dilambung rakan.

Kejadian berlaku minggu lalu di sebuah resort di Baile Felix, Bihor ketika majlis resepsi pengantin 31 tahun itu bersama pasangannya.


Rakaman video menunjukkan sekumpulan rakan mengangkat pengantin itu ketika dia sedang menari bersama isteri, dan melambungnya ke udara sebagai tanda meraikan.

Mereka berjaya menyambut lelaki terbabit ketika lambungan pertama namun tragedi malang berlaku pada lambungan kedua apabila kedudukan pengantin itu hampir terbalik.





Akibatnya, mangsa jatuh dan kepalanya mengenai lantai dan mencederakan tulang belakang.

Rakan pengantin itu memburukkan lagi kecederaan mangsa apabila mengangkatnya dan meletakkan dia di atas kerusi sebelum paramedik tiba.

“Saya sepatutnya tidak diangkat ketika terbaring di lantai itu,” kata pengantin itu kepada Bihorjust yang dilapor The Sun.




Dilaporkan, dia sudah menghubungi peguam namun masih mempertimbangkan langkah selanjutnya yang perlu dilakukan.

Sementara itu, Dr Lucia Daina berkata, tulang belakang pengantin lelaki itu patah, tetapi proses rawatannya menunjukkan perkembangan baik.