VIDEO Pemandu kereta langgar penunggang basikal dah serah diri

Kuala Lumpur: Pemandu kereta yang dipercayai melanggar lari penunggang basikal di Jalan Kinabalu di sini, tampil menyerah diri, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, lelaki berusia 22 tahun itu hadir ke Balai Trafik Kuala Lumpur pada 4.45 petang.



“Polis menghubungi lelaki itu supaya hadir bagi membantu siasatan kes kemalangan yang berlaku 7.15 pagi tadi, seperti yang tular di media sosial.

“Dia dibebaskan dengan jaminan selepas keterangan diambil. Namun polis merampas keretanya untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sarifudin berkata, siasatan awal terhadap rakaman video berdurasi satu minit mendapati penunggang basikal dari arah Cheras menghala ke Jalan Kuching dilanggar sebuah kenderaan warna merah dari belakang.





Beliau berkata, kenderaan itu bagaimanapun meneruskan perjalanan tanpa berhenti di tempat kejadian.

Menurutnya, penunggang basikal yang juga kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengalami cedera ringan dan hadir membuat laporan polis selepas kejadian.

Katanya, kes diklasifikasi mengikut Peraturan 10 LN 166/59 Kaedah-Kaedah Lalu-Lintas 1959.





Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun HS Lee di talian 03-20719999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Muhammad Azran Ridzwan, 34, mengayuh basikal dari rumahnya di Batu 9 Cheras, di sini, untuk beriadah sebelum dirempuh sebuah kenderaan dari belakang di lokasi kejadian.

Berikutan kejadian itu, Muhammad Azran mengalami luka pada pinggul kiri, koyak di bahagian siku kiri, cedera di lutut kiri dan betis kanan. HMetro