Sarkastik Namron demi sejuta pengikut

PETALING JAYA: Pelakon terkenal tanah air, Namron tampil dengan cara sarkastiknya menyahut cabaran sebuah stesen televisyen dan segelintir penerbit, dengan penampilannya tanpa baju di media sosial Instagram.



Menerusi entri tersebut, Pengarah Filem Terbaik Anugerah Festival Filem Malaysia 2019 itu memuat naik gambar figuranya yang dilihat separa bogel tanda respon kepada salah satu syarat yang dikenakan kepada produksi untuk mengambil pelakon dalam naskhah mereka.

Secara sinis, Namron memaklumkan dirinya memerlukan sekurang-kurangnya sejuta pengikut di platftorm berkenaan bagi melayakkan dirinya menerima tawaran berlakon.





“Menyahut cabaran stesen televisyen dan segelintir penerbit yang mahukan sekurang-kurangnya sejuta pengikut di media sosial.

“Road to one million followers. Foto bogel penuh akan disiarkan sekiranya sasaran tercapai sebelum tahun 2022,” tulisnya bernada sindir di Instagram.





Tinjauan mendapati, rata-rata warganet dan rakan artis memberi pelbagai reaksi di ruangan komen tersebut.

Terdahulu, penerbit terkenal Zeel Production House, Haji Zil menerusi artikel terbitan Metro pada 23 September lalu, mendedahkan produksinya mengenakan salah satu syarat iaitu memerlukan pengambilan pelakon yang memiliki sejuta pengikut di Instagram. – utusan