Pondok polis dibakar, Dua suspek ditahan

KOTA BHARU – Sebuah pondok polis di Pasar Jelawat di Bachok dibakar oleh seorang lelaki bermotosikal pada awal pagi Ahad.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, bagaimanapun kejadian itu tidak membabitkan kemalangan jiwa.

“Selang beberapa jam selepas kejadian tersebut, kami menahan dua suspek lelaki berusia 24 dan 35 tahun bagi membantu siasatan.


“Polis turut meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di bangunan hadapan lokasi kejadian yang merakam perbuatan khianat itu. Pada jam 3.12 pagi tadi, Balai Polis Bachok menerima laporan bahawa seorang lelaki bermotosikal membaling satu objek ke sebuah pondok polis di Jelawat hingga terbakar.

“Siasatan di tempat kejadian turut menjumpai satu objek plastik berisi sisa petrol,” katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), di sini selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Timbalan Ketua Polis Kelantan antara Senior Asistan Komisioner Abdullah Mohammed Piah yang bersara dan digantikan dengan Datuk Muhamad Zaki Harun, pada Ahad.




Kata Shafien, motif suspek membakar pondok polis berkenaan masih dalam siasatan manakala ujian urin suspek yang berusia 35 tahun didapati positif dadah jenis metamphetamine.

“Kedua-duanya mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan dadah dan direman enam hari berkuatkuasa hari ini sehingga Jumaat bagi membantu siasatan.




“Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan (khianat dengan api) yang boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan,” katanya. – Sinar Harian