Peragut gigit telinga sampai koyak

KOTA BHARU – “Saya tekup hidung dia, dia gigit telinga saya,” kata seorang lelaki menceritakan insiden bergelut dengan seorang penjenayah yang meragut beg tangan isterinya dalam kejadian di Kampung Binjai di sini pada Ahad.

Akibat gigitan tersebut, Mohd Hanif Hilmi, 29, koyak pada cuping telinga kirinya dan menerima tujuh jahitan.



Menurut Mohd Hanif, dalam kejadian kira-kira 5.45 pagi itu, penjenayah yang menaiki sebuah motosikal meragut beg tangan isterinya di tepi jalan.

Katanya, penjenayah berkenaan kemudian terjatuh dari motosikal selepas dilanggar oleh kereta yang dipandunya.

“Dia nak lari, saya terkam dia dari belakang dan menekup hidungnya. Waktu itu dia meronta untuk melepaskan diri dan bertindak menggigit telinga kiri saya sebelum datang dua orang awam membantu dan menangkap suspek,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di Pengkalan Chepa di sini pada Selasa.





Mohd Hanif sebelum itu menerima sijil penghargaan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang disampaikan Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat atas keberaniannya itu.




Sementara itu, Shafien berkata, penahanan penjenayah tersebut menyebabkan polis berjaya menyelesaikan lima kes ragut menggunakan modus operandi dengan menyasarkan wanita bersendirian di tempat-tempat sunyi.

“Suspek juga memilih lokasi seperti hentian bas atau lokasi penumpang yang turun di tempat-tempat sunyi. – Sinar Harian