Pengasuh hempas bayi ke lantai kerana tak henti menangis

Ipoh: Polis menahan seorang pengasuh selepas disyaki mendera dan cuba membunuh bayi lelaki berusia tujuh bulan di sebuah rumah di Taman Desa Pelancongan di sini, hari ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, polis menerima satu laporan daripada bapa bayi berkenaan pada jam kira-kira 3.03 pagi ini.



Katanya, pada jam 7.10 pagi Rabu lalu mangsa dihantar oleh bapa kandung ke rumah pengasuh iaitu wanita berusia 22 tahun dalam keadaan sihat dan baik.

“Bapa mangsa dihubungi oleh pengasuh berkenaan pada jam 2.35 petang hari berkenaan supaya mengambil anaknya kerana mangsa dikatakan terjatuh dari ‘baby walker’,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mior Faridalathrash berkata, setibanya di rumah pengasuh terbabit bapa mangsa mendapati kepala anaknya terdapat kesan bengkak.




“Bapa mangsa kemudiannya bertanyakan punca kecederaan anaknya dan dimaklumkan oleh pengasuh bahawa mangsa jatuh ketika didukung.

“Mangsa kemudiannya dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan didapati mengalami pendarahan di kepala dan tempurung kepala mangsa retak. Mangsa berada di dalam keadaan tidak sedar dan kritikal,” katanya.

Beliau berkata, suspek wanita warga tempatan itu ditahan dan siasatan awal mendapati suspek dikatakan menghempas kepala mangsa sebanyak dua kali ke lantai kerana marah selepas bayi itu tidak berhenti menangis.





“Suspek berhenti melakukan perbuatan itu selepas menyedari mangsa tidak sedarkan diri,” katanya kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Sementara pengasuh tersebut direman enam hari bermula semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, perintah reman sehingga 29 September ke atas suspek berusia 22 tahun itu dikeluarkan bagi membolehkan siasatan lanjut mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

“Bayi masih dalam keadaan kritikal tetapi stabil,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.