Pedofil Papar 8.5 Juta Gambar Penderaan Seksual Kanak-Kanak Di Laman ‘Dark Web’ Dipenjara 27 Tahun

Seorang lelaki pedofil yang mengendalikan sebuah laman web gelap atau ‘dark web’ yang memaparkan lebih 8.5 juta imej penderaan seksual kanak-kanak dijatuhi hukuman penjara 27 tahun, lapor akhbar Daily Star.

Eric Eoin Marques, 36, yang memiliki kerakyatan Amerika Syarikat (AS) dan Ireland telah ditahan di Ireland pada 2013 dan diekstradisi ke AS enam tahun kemudian.


Menurut pendakwa raya, Marques menghasilkan dan mengendalikan pelayan komputer di laman web gelap selama lima tahun antara 2008 hingga 2013.

Sistem itu membolehkan pengguna mengakses jutaan imej rogol dan penderaan melibatkan kanak-kanak.





Jabatan Kehakiman AS menyatakan bahawa hampir dua juta imej dan video adalah ‘melibatkan mangsa yang tidak diketahui oleh penguatkuasaan undang-undang’.

“Sebilangan besar gambar ini melibatkan penderaan sadis terhadap bayi dan kanak-kanak seperti diikat, diliwat dan bersifat memalukan seperti membuang air kecil dan besar serta muntah,” jelas jabatan tersebut.





Menurut pengadilan mahkamah, pegawai penyiasat telah mengenal pasti tertuduh sebagai penyedia gambar penderaan kanak-kanak terbesar di seluruh dunia dan memperoleh bayaran berjumlah AS$3.6 juta (RM15.02 juta) daripada kegiatannya.

Marques bagaimanapun meminta hakim menjatuhkan hukuman penjara 21 tahun kerana dia telah menjalani hukuman selama lapan tahun sebelum itu, namun permohonan tersebut ditolak.

Peguam AS, Jonathan Lenzner menyatakan bahawa tertuduh telah menyebabkan ‘kerosakan yang tidak dapat diungkapkan’ kepada kanak-kanak.

Selain hukuman penjara, Marques turut diperintahkan untuk membayar sebanyak AS$87,000 (RM362, 960) kepada mangsa-mangsa yang telah disebarkan gambar mereka.