Individu terlepas dos kedua AZ disaran ambil suntikan sebelum 4 Oktober

SHAH ALAM – Individu yang terlepas suntikan kedua dos vaksin Covid-19 jenis AstraZeneca disaran supaya hadir ke Pusat Pemberian Vaksin AstraZeneca (PPVAZ) asal mereka secara terus sebelum 4 Oktober ini.



Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) menerusi satu hantaran memaklumkan individu berkenaan boleh datang terus ke mana-mana empat lokasi PPVAZ sebelum tarikh tersebut.

Menurut hantaran tersebut, lokasi PPAZ tersebut ialah PPVAZ Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur; PPVAZ Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur; PPVAZ Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi dan PPVAZ Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam.





“Kepada penerima vaksin AstraZeneca di Lembah Klang yang telah terlepas suntikan dos kedua, sila terus ke PPV asal anda sebelum 4 Oktober 2021.

“Semua PPVAZ di Lembah Klang akan ditutup selepas 3 Oktober,” kata hantaran tersebut pada Selasa.