Guru enggan divaksin tetap perlu laksana tugas: KPM

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang meneliti pendekatan terbaik berhubung penetapan tugas membabitkan guru-guru yang enggan dan masih belum mendapatkan vaksin Covid-19 di seluruh negara.

Ia susulan ketetapan KPM terhadap kumpulan tersebut yang tidak dibenarkan mengajar dan berinteraksi dengan pelajar secara bersemuka sebaik sahaja pembukaan sekolah dilaksanakan.


Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, ketika ini terdapat kira-kira 2,100 guru yang enggan dan masih belum mendapatkan vaksin Covid-19.

Namun katanya, tidak bermakna semua mereka terkecuali daripada menjalankan tanggungjawab sebagai seorang guru.





“Ada tugas-tugasan yang akan diberikan kepada guru-guru ini berdasarkan keadaan semasa di sekolah. Ini kerana, seramai 2,100 orang ini mempunyai latar belakang keadaan semasa sekolah yang berbeza.

“Contohnya, ada sekolah yang (guru tidak divaksin) dalam tiga subjek sama. Jadi kita sedang teliti satu persatu apakah pendekatan yang terbaik,” katanya pada sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, pada Rabu.





Beliau berkata demikian ketika menjawab celahan Karupaiya Mutusami (PH-Padang Serai) yang bangkit mempersoalkan sama ada larangan mengajar secara bersemuka membabitkan kumpulan guru yang tidak divaksin akan menambah beban kepada guru-guru yang telah divaksin.

Pada masa sama, menjawab celahan RSN Rayer (PH-Jelutong) yang memohon jaminan agar tiada tindakan terhadap guru-guru yang enggan divaksin, Radzi berkata, ia adalah bergantung kepada ketetapan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).