Dua wanita pengsan, lebih 100 penduduk dipindahkan

Johor Bahru: Dua penduduk Kampung Baru Sri Aman, Seelong, di sini, pengsan, selepas terhidu bau busuk disyaki bahan kimia dari sungai berhampiran kampung itu.

Dalam kejadian 10.30 malam tadi itu, dua wanita, masing-masing berusia 20 serta 40 tahun itu dihantar ke Hospital Sultanah Aminah dan Hospital Sultan Ismail bagi mendapatkan rawatan kecemasan.




Sehubungan itu, arahan pengosongan kampung itu dibuat dengan 102 penduduk kampung terpaksa dipindahkan sementara ke Balai Raya Kampung Sinaran Baru.

Penolong Kanan Penguasa Bomba dan Ketua Unit Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) Jabatan Penyelamat Bomba Malaysia (JBPM) Johor, Saiful Bahri Safar berkata, pihaknya menerima panggilan pada 10.22 malam sebelum pasukan penyelamat pertama tiba di kampung berkenaan 15 minit kemudian.

Katanya, seramai 24 pegawai dan anggota dengan lima jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kempas, Larkin dan Johor Jaya dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Hasil ujian awal, bomba mengesyaki tumpahan itu adalah bahan buangan kimia berjadual metil alkohol dengan kepekatan 120 ppm.





“Bomba mengarahkan rumah dalam lingkungan 150 meter dari sungai itu segera dikosongkan bagi mengelakkan insiden tidak diingini.

“Pengawasan dan pengawalan turut dilakukan secara berterusan di lokasi kejadian bagi memantau keadaan udara di kawasan kampung itu dan sekitarnya.

“Pengesanan dengan menggunakan kaedah menyusuri sungai itu turut dilakukan bagi mengetahui punca sebenar tumpahan kimia berkenaan,” katanya.

Saiful Bahri berkata, menerusi tinjauan sehingga 3 pagi tadi mendapati bau seakan petrol masih dapat dihidu sejauh kira-kira 300 meter dari anak sungai di kampung berkenaan.

“Usaha pengesanan tumpahan masih diteruskan dan pihak bomba turut memohon bantuan Jabatan Alam Sekitar dan Unit Hazmat JBPM Melaka,” katanya.




Sementara itu penduduk mengatakan bau busuk seperti tayar dibakar selain kepulan asap dilihat keluar di tali air di belakang Kampung Baru Sri Aman.

Lebih menakutkan, penduduk mendakwa hidupan akuatik seperti ikan dan labi-labi mati di tali air berkenaan.

Penduduk, A Khalib Muslim, 70, berkata, bau busuk yang menyesakkan nafas itu dapat dihidu sejak jam 9 malam sehingga awal pagi tadi.

“Selepas solat Isyak penduduk termasuk saya dapat menghidu bau hangit seperti tayar dibakar yang amat kuat.

“Saya termasuk penduduk lain mula mencari-cari sumber dari manakah bau busuk itu datang sebelum melihat kepulan asap keluar dari tali air berdekatan.

“Apabila suluh di tali air berkenaan kami nampak ikan serta labi-labi mati malah kami juga sukar bernafas sebelum kekecohan berlaku apabila ada penduduk yang pengsan,” katanya ketika ditemui.