Ditahan Imigresen Thai, Sajat dapat bantuan lolos ke Bangkok

Kuala Lumpur: Memakai purdah dan niqab menjadi taktik Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Nur Sajat untuk mengelakkan dikesan pihak berkuasa selepas usaha memburunya dilakukan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang mendapat bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dengan mengenakan pakaian sedemikian selain dibantu seorang lelaki, Nur Sajat melarikan diri dari rumahnya di Petaling Jaya, dekat sini, ke kawasan sempadan sebelum lolos ke Thailand.



Skuad Khas Harian Metro menjejaki semula laluan digunakan Nur Sajat yang dipandu arah lelaki terbabit yang dilaporkan menerima upah sebanyak RM20,000.

Sumber memaklumkan, selepas gagal hadir ke Mahkamah Tinggi Syariah di Shah Alam, waran tangkap terhadap usahawan kosmetik itu dikeluarkan mahkamah.

“Nur Sajat yang ketika itu sedang bersembunyi di Lembah Klang mula mencari jalan untuk keluar ke negara ini. Dia kemudiannya diperkenalkan kepada seorang lelaki yang mahir dengan selok-belok di kawasan sempadan sebelum bersetuju membayar RM20,000 sehingga selamat tiba di Bangkok.

“Lelaki ini dipercayai mempunyai dua kerakyatan iaitu Malaysia dan Thailand. Siasatan lanjut sedang dilakukan,” katanya.





Mengulas lanjut, dengan bantuan lelaki itu, Nur Sajat dibawa menaiki sebuah kenderaan dari Lembah Klang ke Lebuhraya Utara Selatan (Plus) sebelum dibawa ke Padang Besar, Perlis.

“Sebaik tiba di Padang Besar, Nur Sajat dimasukkan ke gerabak kereta api barang sebelum lolos ke Padang Besar, Thailand bersama lelaki terbabit.

“Lelaki sama kemudiannya membawa Nur Sajat ke Hat Yai, Thailand. Dia (Nur Sajat) kemudiannya diserahkan kepada seorang lelaki yang membawanya hinggalah ke Bangkok, Thailand,” katanya.

Ditanya bagaimana Nur Sajat dan lelaki terbabit boleh melepasi sekatan jalan raya hingga ke utara tanah air, sumber itu memaklumkan, usahawan kosmetik itu lolos ke Thailand pada Mac lalu.

“Kita percaya Nur Sajat dan lelaki terbabit lolos ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Ketika ini kelonggaran diberikan untuk melakukan rentas daerah dan negeri. “Pihak berkuasa yakin dia lolos sebelum 18 Mac ketika PKPP kerana selepas itu (18 Mac) PKP kembali dikuatkuasakan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, sumber itu memaklumkan, siasatan mengenai Nur Sajat berjaya lolos walaupun gambarnya sudah diedarkan ke pasukan keselamatan yang menjaga sempadan negara sudah diperhalusi pihak berkuasa.

“Saya tidak mahu ulas bagaimana dia boleh lolos di Padang Besar, Perlis ke Thailand walaupun ketika itu kita sudah edar gambar dia.




Sementara itu Sumber memaklumkan Nur Sajat, 36, ditahan di sebuah kondominium mewah di Bangkok bersama seorang lelaki juga berperwatakan wanita warga Thailand ketika serbuan pihak imigresen.

“Pada 4 Jun, pihak imigresen Thailand mengesan lokasi persembunyian Nur Sajat iaitu di sebuah kondo mewah di tengah Bangkok.

“Selepas risikan dan intipan dilakukan, pada 8 September sekitar jam 6 petang (waktu Thailand) serbuan dilakukan di lokasi persembunyiannya. Hasilnya, Nur Sajat ditahan dan semakan pihak imigresen Thailand mengesahkan dia adalah individu yang melarikan diri serta dikehendaki pihak berkuasa Malaysia. Malah, pasport milik usahawan kosmetik itu juga sudah dibatalkan kerajaan Malaysia,” katanya memaklumkan Nur Sajat ditahan bersama dengan seorang lelaki tempatan (Thailand) yang juga berperwatakan sepertinya di kondominium mewah itu.

Menurutnya, Nur Sajat kemudiannya dibawa dan ditahan di Ibu Pejabat Imigresen Cawangan Pembanterasan Pendatang Tanpa Izin Thailand atas kesalahan berkaitan imigresen di negara gajah putih itu.

“Pada 9 September atas kesalahan itu, Nur Sajat didakwa di mahkamah Thailand. Nur Sajat bagaimanapun dibebaskan pada 10 September dengan jaminan AS$2,000 (RM8,343) yang dibuat seorang warga tempatan.

“Wang itu dibayar oleh seorang kenalannya dikenali sebagai Misha yang dilaporkan terbang ke Thailand untuk urusan jaminan Nur Sajat,” katanya.

Ditanya di manakah Nur Sajat kini berada, sumber itu memaklumkan, Nur Sajat masih berlindung di kondominium mewah di tengah ibu kota Bangkok itu.