Boleh pilih tidak hantar anak ke sekolah, Hanya 50 peratus kehadiran murid dalam kelas

Meskipun sesi bersemuka sekolah bermula pada 3 Oktober ini, ibu bapa atau penjaga diberi pilihan untuk tidak menghantar anak ke sekolah.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin, berkata ketidakhadiran pelajar tidak akan dianggap sebagai satu kesalahan disiplin tetapi ibu bapa perlu menulis surat kepada sekolah mengenai perkara itu.


Katanya, tidak akan ada surat amaran akan diberikan, tetapi ibu bapa hanya perlu menjelaskan mengenai ketidakhadiran itu.

“Perkara itu akan diguna pakai hingga penghujung sesi persekolahan tahun ini,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Sementara itu sesi pembelajaran dan pengajaran (PdP) secara bersemuka bermula 3 Oktober depan akan menggunakan sistem penggiliran dengan kehadiran 50 peratus kapasiti daripada jumlah sebenar murid dan pelajar.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, murid dan pelajar akan dibahagikan kepada dua kumpulan mengikut minggu dengan kapasiti kelas dihadkan kepada 50 peratus.





Katanya, pendekatan itu bagi memastikan semua ekosistem murid dan pelajar yang hadir ke sekolah selamat.

“Sebagai contoh, Kumpulan A akan hadir ke sekolah pada minggu pertama manakala Kumpulan B menjalani PdP di rumah.

“Bagi minggu kedua sistem itu akan bertukar kepada Kumpulan B yang akan hadir ke sekolah manakala Kumpulan A belajar di rumah.

“Sistem ini akan berterusan mengikut keadaan semasa dan akan diberitahu kemudian jika ada sebarang perubahan,” katanya.

Beliau berkata, beberapa kumpulan pelajar akan dikecualikan daripada menggunakan sistem penggiliran ini.





“Kumpulan yang perlu hadir ke sekolah seperti biasa tanpa penggiliran ialah Murid Berkeperluan Khas (MBK) di sekolah menengah kebangsaan pendidikan khas (SMKPK), sekolah menengah pendidikan khas vokasional (SMPKV), sekolah kebangsaan pendidikan khas (SKPK) dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).

“Murid tingkatan enam sementer dua dan IBD tahun dua, murid di sekolah asrama penuh, murid kelas peperiksaan antarabangsa.

“Selain itu, murid prasekolah, tadika swasta, pusat pemkembangan minda umur empath hingga enam tahun serta sekolah kurang murid iaitu kapasiti kurang 150 murid,” katanya.

Sesi persekolahan bagi tahun ini akan dilanjutkan sehingga Februari 2022.