Abang, Ibu mangsa didakwa gangguan seksual buat sumpah laknat

PETALING JAYA- Sebuah video memaparkan seorang wanita melafazkan sumpah laknat bagi menjelaskan kebenaran bahawa anaknya menerima gangguan seksual daripada seorang penceramah terkenal didedahkan hari ini.

Video sumpah laknat berdurasi 49 saat itu didedahkan kepada orang ramai menerusi Telegram Firdaus Wong Wai Hung yang sebelum ini begitu lantang mendedahkan isu kontroversi melibatkan penceramah terkenal terbabit.




Menerusi video itu, wanita berkenaan bersumpah dengan nama Allah bahawa anak perempuannya mengalami kemurungan dan cuba membunuh diri selepas diganggu penceramah terkenal terbabit.

“Bismillahirahmanirahim, Wallahi, Wabillahi, Watallahi, saya bersumpah dengan nama Allah bahawa anak saya mengalami kemurungan dan cuba membunuh diri setelah (individu itu) melakukan perbuatan terkutuk menerusi WhatsApp dan panggilan video terhadap anak saya.





“Jika saya berdusta, Ya Allah laknatilah saya,” katanya menerusi video berkenaan.

Sementara itu, Firdaus Wong berkata, ibu kepada mangsa telah mengizinkan dirinya untuk berkongsikan video sumpah laknat memaparkan anaknya telah menerima gangguan seksual.

“Mereka mengizinkan kerana mahu memberikan kesedaran kepada masyarakat yang perkara itu memang berlaku dan mengalakkan lebih ramai mangsa tampil membuat laporan polis.

“Buat masa ini, nama dan wajah mereka dirahsiakan dahulu, apabila tiba masanya mereka semua akan tampil ke khalayak ramai demi sebuah kebenaran,” katanya.




Skandal video lucah melibatkan penceramah itu dilihat semakin panas selepas pendedahan demi pendedahan dibuat Firdaus Wong dengan satu video sumpah laknat diikrarkan oleh abang seorang mangsa.

Keadaan itu menjadi lebih hangat apabila penyayi rap Caprice memuat naik gambar dengan wajah entiti iblis, jam pasir dan mengajuk ciuman yang dikatakan mempunyai kaitan dengan penceramah terkenal itu.

Terdahulu seorang lelaki mendakwa abang kepada mangsa membuat sumpah laknat berhubung kes tersebut.

Dalam video berdurasi 46 saat itu, lelaki berkenaan tampil sebagai saksi bagi membuktikan adiknya menerima mesej serta panggilan video lucah daripada pendakwah terbabit sehingga mengalami kemurungan, tekanan dan cuba membunuh diri.