[VIDEO] Video tular dakwa ‘polis palsu’ adalah serbuan sebenar polis

SEREMBAN – Polis mengesahkan paparan dua rakaman video dakwaan ‘polis palsu’ yang melakukan pemeriksaan rumah, seperti tular dalam media sosial hari ini, adalah serbuan sebenar pihak polis mengesan suspek bagi membantu siasatan kes penipuan semalam (Isnin).



Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman berkata, pihaknya mengesahkan siasatan itu dikendalikan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai yang bertindak atas maklumat menerusi Op Pelican dalam kejadian kira-kira 11 malam.

Jelasnya, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Nilai bersama anggota Balai Polis Dato Keramat, Pulau Pinang telah pergi ke sebuah kediaman di Georgetown untuk mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan dalam kes yang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.





“Pasukan pemeriksaan telah memperkenalkan diri dengan menunjukkan kad kuasa kepada penghuni rumah dan hasil pemeriksaan mendapati lelaki yang dikesan tiada di rumah itu. Tiada sebarang tangkapan dan rampasan dijalankan,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Selasa.




Jelasnya, tindakan pihak polis adalah berlandaskan peruntukan undang-undang berkuat kuasa serta peraturan-peraturan yang ditetapkan dan orang ramai dinasihatkan tidak mensensasikan fakta isu berkenaan.

Terdahulu, tular sebuah video berdurasi 33.33 saat memaparkan dakwaan ‘polis palsu’ menjalankan pemeriksaan di sebuah kediaman di Pulau Pinang. – Bernama