[VIDEO] Lelaki maki hamun selepas ditegur tak pakai pelitup muka

KUALA LUMPUR – Kes seorang lelaki memaki hamun seorang penjual nasi lemak dan pelanggan gara-gara ditegur kerana tidak memakai pelitup muka di Kedai Sepetang, Jalan Desa Bakti di sini hari ini disiasat.

Polis menerima laporan sekitar jam 3.40 petang tadi dari seorang wanita berusia 22 tahun berkaitan video insiden itu yang tular di media sosial.

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Basri Sagoni berkata, video tular berdurasi 29 saat itu berlaku kira-kira pukul 10.30 pagi memaparkan seorang lelaki telah datang ke gerainya dan memaki hamun dan memarahi ibunya yang menjual nasi lemak dan seorang lagi pelanggan.



“Suspek dalam video itu dilihat memarahi dan memaki hamun ibu pengadu dan seorang pelanggan lain apabila ditegur wanita itu kerana tidak memakai pelitup muka di tempat awam dan melanggar SOP.

“Kejadian ini dirakamkan oleh seorang wanita tempatan yang lain menggunakan telefon bimbitnya sebelum berkongsi rakaman kejadian tersebut kepada pengadu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah Basri, kes itu disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan Peraturan 17(1) PPPDPPB 2021 kerana melanggar SOP yang ditetapkan oleh kerajaan.





Rentetan insiden itu, beliau menasihati orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan video tular berkenaan dibimbangi mewujudkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

“Sebarang perlanggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) boleh dikenakan tindakan undang-undang dan sedang mengesan individu tersebut.

“Polis mengalu-alukan orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes (individu ingkar SOP) ini tampil memberi keterangan,” katanya.





Malah dalam video yang sama, individu itu dilihat menggunakan kata kesat selain turut mencabar pelanggan dan penjual supaya mengadu kepada polis mengenai tindakannya tanpa pelitup muka di tempat umum jika tidak berpuas hati terhadapnya.