[VIDEO] IPD Klang Utara siasat anggota disyaki minta sogokan

KLANG: Polis Daerah Klang Utara membuka kertas siasatan tatatertib susulan anggotanya disyaki meminta wang sogokan daripada seorang pemilik pikap di Bandar Sultan Suleiman, Pelabuhan Klang, 1 Julai lalu.



Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, kertas siasatan itu dibuka selepas pihaknya mengesan rakaman video ditular seorang pengguna Twitter menunjukkan tingkah laku anggota terbabit.

“Kami mengenalpasti pelaku iaitu anggota terbabit dalam insiden itu dan satu kertas siasatan tatatertib dibuka ke atas anggota berkenaan.





“Polis menyeru supaya pemilik akaun media sosial atau individu mempunyai maklumat lanjut supaya menghubungi Balai Polis Klang Utara untuk membantu siasatan,” katanya dalam hantaran di Facebook Polis Daerah Klang Utara, hari ini.

Terdahulu, tular satu rakaman video bertarikh 1 Julai berdurasi 1.02 minit memaparkan dua anggota polis menahan seorang lelaki di tepi jalan dan disyaki meminta wang daripada pemilik kenderaan berkenaan.




Insiden berlaku sekitar jam 11.41 pagi di Pelabuhan Klang menghala ke Bandar Sultan Suleiman