Suami nekad gali kubur isteri

Jakarta: Seorang suami nekad menggali kubur isterinya kerana curiga dengan punca kematian wanita itu.

Kejadian di Kampung Cidadap, Kota Serang, Banten itu dilaporkan berlaku lima hari selepas kematian wanita berkenaan yang dikenali sebagai Aisah, 45.

Zahroni berkata, penggalian semula kubur isterinya itu dibuat selepas keluarga curiga dengan kematian Aisah yang dikatakan akibat Covid-19.


Ia menyebabkan urusan pengebumian juga dibuat mengikut protokol Covid-19.

Menurutnya, ketika dikebumikan, pihak hospital masih belum memberikan sebarang keputusan ujian calitan Covid-19 kepada keluarga.

“Saya dan anak menyedari terdapat kesangsian dalam pengebumian isteri seperti ada sesuatu yang disembunyikan.

“Anak mahu kubur ibu mereka digali semula dan saya turuti permintaan itu,” katanya seperti dilapor portal Kompas.





Selepas digali dan dikeluarkan, jenazah Aisah dimandi, dikafan, disolatkan sebelum dikebumikan semula.

Zahroni berkata, isterinya meninggal dunia Isnin lalu selepas tiga hari menerima rawatan di Hospital Umum Banten.

Hospital kemudian memaklumkan isterinya meninggal dunia akibat Covid-19.

Namun, keluarga tidak menerima sebarang keputusan ujian calitan.





Dia mendakwa keluarga hanya menerima surat kematian yang memaklumkan kematian Aisah kerana Covid-19.

“Saya sudah bertanyakan hospital dan dimaklumkan kematian isteri kerana positif Covid-19.

“Namun, tiada bukti mengenai kematian itu melainkan sekeping surat kematian saja yang diterima,” katanya.

Dalam pada itu, ketua kampung berkenaan, Ahmad Bazuri memaklumkan pihaknya, menerusi WhatsApp, sudah menerima surat keputusan ujian calitan Covid-19 yang mengesahkan wanita berkenaan positif virus berkenaan.

Ia kemudian dikongsikan kepada keluarga wanita itu. Namun, pengesahan itu diterima selepas urusan pengebumian semula jenazah itu selesai.