Sorok motor dalam bilik tidur selepas aksi berbahaya tular

Kuala Lumpur: Cubaan seorang remaja lelaki menyembunyikan motosikalnya di dalam bilik tidur di rumahnya di Taman Harmonis, Gombak, dekat sini, selepas video aksinya menunggang motosikal secara berbahaya tular di media sosial gagal selepas ditahan polis hari ini.


Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, pihaknya menerima maklumat pada 9 pagi ini berkaitan dua rakaman video yang tular di Twitter berdurasi 22 saat dan 30 saat.

Menurutnya, hasil risikan pada rakaman video pertama dapati kejadian berlaku jam 5.30 petang semalam di Jalan Sungai Tua menghala ke Ulu Yam.





“Hasil paparan video itu dapat dikenal pasti suspek berusia 15 tahun yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 warna biru hitam menetap di Batu Caves sebelum dia ditahan jam 2.45 petang tadi.

“Hasil risikan pada rakaman video kedua dapati kejadian berlaku pada 29 Jun lalu jam 1 tengah hari di Jalan Batu 6 1/2 Jalan Gombak (Kampung Tengah) menghala ke arah Kuala Lumpur.





“Siasatan lanjut kemudian mendapati suspek berusia 15 tahun menunggang motosikal Yamaha 135LC dan menetap di Taman Harmonis, Gombak, dekat sini, sebelum dia ditahan jam 3 petang ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Nadzri berkata, bagi mengelak motosikalnya dikesan, remaja lelaki terbabit turut menyembunyikan di dalam bilik tidurnya namun gagal selepas pemeriksaan menemuinya.

“Mereka bersama motosikal itu kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak untuk tindakan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.