Selepas dikecam bersikap kurang ajar, Usahawan ‘ceramah’ gelandangan dikompaun

Kuala Lumpur: Usahawan dikompaun RM1,500 atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) kerana tidak memakai pelitup muka ketika berceramah kepada gelandangan di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, polis mengesan video berdurasi 49 saat tular di media sosial menunjukkan seorang lelaki tidak memakai pelitup muka.


“Berdasarkan siasatan, kejadian berlaku 11.30 pagi semalam ketika individu itu menyampaikan ceramah motivasi bertajuk ‘ubah hidup’ kepada 20 gelandangan di pusat transit berkenaan.

“Polis kemudian memanggil lelaki berusia 34 tahun itu untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 5.20 petang tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.




Beliau berkata, polis mengeluarkan kompaun RM1,500 kepada lelaki terbabit kerana melakukan kesalahan tidak memakai pelitup muka.

Sementara itu, di media sosial rata-rata netizen kecewa dengan sikap lelaki terbabit dan mengecam perlakuannya yang dianggap biadap, sekali gus menjatuhkan air muka warga emas berusia 64 tahun itu.





Rakaman video yang tular itu menunjukkan lelaki itu sedang mempersoalkan warga emas berkenaan adakah dia menyesal kerana tidak berusaha dan malas sewaktu muda sehingga menjadi gelandangan.

Netizen turut melemparkan kecaman apabila dia dilihat tidak memakai pelitup muka ketika menyampaikan ceramah.

Difahamkan, individu terbabit bersama beberapa rakan ke pusat transit gelandangan itu untuk menyampaikan bantuan sebelum mengambil kesempatan menyampaikan ceramah motivasi kepada gelandangan.