Pengiktirafan AstraZeneca: Malaysia akan minta penjelasan daripada EU – Khairy

SERI KEMBANGAN: Kerajaan akan meminta penjelasan daripada Kesatuan Eropah (EU) berhubung dakwaan Sijil Digital COVID-19 Kesatuan Eropah (EU) hanya mengiktiraf vaksin AstraZeneca (AZ) yang diluluskan Agensi Perubatan Eropah (EMA).

Menurut Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, satu pertemuan akan diadakan bersama wakil EU di Malaysia berhubung perkara itu.



“Ini berita yang baru sahaja dikeluarkan, kita akan dapat penjelasan daripada Kesatuan Eropah (EU) dan saya sendiri akan cuba minta penjelasan lanjut wakil mereka di Malaysia.

“Pendirian Malaysia adalah sekiranya vaksin itu adalah diterima oleh WHO, maka kita mohon negara lain juga mengiktiraf mereka yang sudah diberi vaksin tersebut.

“Kedua, kita harap bahawa tiada diskriminasi daripada kilang mana vaksin itu datang. Kilang AZ guna formula sama, sama ada di EU, Korea Selatan, India ataupun Thailand, semua vaksin sama,” jelas Khairy ketika ditemui dalam lawatan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) MINES, Seri Kembangan pada Sabtu.





Tegasnya lagi, tindakan mengasing-asingkan kilang tertentu adalah tidak adil terutama kepada negara yang mendapatkan vaksin AstraZeneca daripada negara lain.

“Bagi saya untuk mengasingkan kilang-kilang tertentu tidak adil, namun kita akan terus minta penjelasan Kesatuan Eropah dan minta mereka melihat vaksin lain,” katanya lagi.

Malah katanya selain vaksin AstraZeneca, kerajaan juga jelasnya akan berbincang dengan kerajaan Arab Saudi berhubung isu yang sama.

“Perkara ini masih dalam perbincangan kita dan negara lain seperti Arab Saudi, sebahagian besar negara Islam seperti Indonesia, Pakistan dan Turki termasuk Malaysia guna vaksin negara China telah diiktiraf WHO.

“Jadi kalau Arab Saudi kata tidak iktiraf, macam mana jemaah daripada negara ini hendak ke tanah suci tahun depan contohnya. Ia perlu dibincang dan diperhalusi di peringkat antarabangsa, kita harapkan tiada diskriminasi,” jelasnya lagi.

Malaysia antara negara yang menggunakan vaksin AstraZeneca daripada pengeluar SK Bioscience Korea Selatan dan Siam Bioscience Thailand.