Nia Ramadhani dan suami akui ambil syabu sejak lima bulan lalu

JAKARTA: Aktres terkenal Indonesia, Nia Ramadhani dan suaminya, Ardi Bakrie didakwa mula mengambil dadah jenis syabu sejak lima bulan lalu.

Menurut polis, perkara itu diakui sendiri oleh pasangan suami isteri itu ketika ditahan di Balai Polis Metro Jakarta Pusat.



Selain itu, pemandu peribadi pasangan suami isteri itu juga didakwa mengambil syabu dan sudah ditahan telebih dahulu sebelum Nia dan Ardi ditangkap.

Ketua Perhubungan Awam Polis Metro Jaya, Yusri Yunus berkata, pasangan suami isteri itu ditahan semalam di Pondok Indah, Kebayoran Baru.




Katanya, berdasarkan ujian air kencing, pasangan suami isteri itu positif dadah jenis syabu.

“Nia dan Ardi mengakui mereka sudah menggunakan dadah selama lima bulan, termasuk pemandu peribadinya.

“Polis turut merampas sejumlah barang bukti termasuk alat untuk menghisap syabu,” katanya.




Susulan berita penahanan Nia Ramadhani dan suaminya Ardi Bakrie, netizen di laman Instagram mula berkongsi foto terkini pelakon terkenal itu yang kelihatan pucat.

Memetik laporan Liputan6, foto memperlihatkan Nia memakai baju berwarna merah jambu itu diambil ketika dia merakam video yang dimuat naik di laman Instastory miliknya baru-baru ini.

Tidak sekadar pucat, pipi pelakon yang popular dengan watak ‘bawang merah’ itu juga kelihatan sangat cengkung dan matanya lesu.

Rata-rata netizen mendakwa penampilan terkini Nia yang kelihatan sangat berbeza itu mempunyai kaitan dengan dakwaan penyalahgunaan dadah.