Misteri orang tua masuk laman rumah awal pagi

PETALING JAYA – Sebuah taman di Sungai Petani, Kedah gempar apabila kelibat seorang lelaki warga emas menceroboh beberapa kediaman seawal 5 pagi berjaya dirakam televisyen litar tertutup (CCTV) salah sebuah rumah di sana.

Menurut satu hantaran Zulhafidz Yahaya di Facebook, dia menyedari kehadiran sebuah kereta Proton Iswara berwarna merah berlegar-legar di kawasan kejiranannya.



Menurutnya, seorang lelaki tua bertongkat kemudiannya dilihat masuk kawasan rumah jiran yang terletak di hadapan kediamannya.

“Jiran depan rumah ini India dan mereka bela banyak anjing termasuk seekor anjing hitam yang besar untuk jaga rumah. Orang tua ini boleh buka sangkar dan main dengan anjing hitam besar itu.

“Anjing-anjing itu semua tak menyalak pun! Biasa anjing kalau bau orang tak dikenali, akan menyalak,” katanya menerusi hantaran tersebut hari ini.

Menurut Zulhafidz, jirannya itu tersedar disebabkan dia bangun awal untuk masak.

“Isteri jiran terkejut ada lelaki tercegat dicelah-celah pandangan cermin dapur. Bila lelaki tua itu sedar ada orang nampak dia, dia tak lari pun. Dia siap tenung.





“Kawasan perumahan ini semua rumah memang pagar automatik tapi wallahu’alam macam mana dia boleh dapat masuk tanpa kopak atau pecahkan pagar,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, orang tua itu tidak mengendahkan pertanyaan jirannya itu sewaktu sedang berjalan keluar dari halaman rumahnya.

“Macam orang buat-buat bodoh dan uncle itu macam tak sedar bila lelaki ni keluar semula dari pagar automatik. Dia cuba kejar tapi tak dapat.

“Nak kata dia lompat atau panjat pagar, tak berapa logik sebab pagar sangat tinggi dan dia berkain dan bila hari cerah, tak ada langsung kesan orang panjat pagar walau pagar dicat putih,” katanya.

Katanya, menerusi rakaman CCTV, kereta Iswara itu meninggalkan lokasi tersebut dan gagal dikejar oleh jirannya itu.




Tambah Zulhafidz, sejak beberapa hari lalu, rumah-rumah di kawasan berkenaan akan terputus bekalan elektrik antara 1 hingga 2 minit malah penggera turut berbunyi sekitar 4 hingga 5 pagi.

“Saya ada beberapa kali terdengar bunyi macam orang kuis-kuis batu kerikil tepi rumah. Mohon doakan Allah lindungi kami sekeluarga dan kejiranan ini.

“Dah buat laporan polis dan kami dimaklumkan itu orang gila. Pihak polis tak nampak motif lain lagi,” katanya. – K!