Lelaki pertikai kompaun pelitup muka direman

PETALING JAYA: Seorang lelaki yang tidak memakai pelitup muka di sebuah stesen minyak dan mempertikai tugas polis serta mengeluarkan kata kesat direman empat hari oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Perintah reman sehingga Sabtu ini dikeluarkan oleh Majistret Muhammad Iskandar Zainol terhadap suspek berusia 29 tahun itu.


Terdahulu, suspek yang bekerja sebagai ejen insurans ditahan polis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 188 dan 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan multimedia.

Lelaki itu ditahan di kediamannya di sebuah apartmen di Bandar Sri Damansara, jam 10 malam tadi.

Dia kemudian dibawa ke mahkamah memakai baju lokap dan diwakili peguam Rahmat Hazlan.





Terdahulu, video berdurasi 15 minit 42 saat menunjukkan seorang lelaki singgah di sebuah stesen minyak di Sri Damansara, sebelum didatangi anggota polis selepas didapati tidak memakai pelitup muka.

Video itu kemudian tular di media sosial selepas suspek enggan memakai pelitup mula dan mendakwa dirinya ada membaca mengenai kajian yang menjelaskan memakai pelitup muka boleh dijangkiti bakteria.





Ketika berada di dalam kereta, suspek yang masih merakam video itu turut mempertikaikan tugas anggota polis dengan mengeluarkan kata kesat.

Melalui rakaman video itu, BH mendapati rata-rata netizen mempertikaikan tindakan suspek yang jelas melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan tidak memakai pelitup muka di tempat awam dan menyokong tindakan polis mengenakan kompaun terhadapnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fahkrudin Abdul Hamid, berkata suspek dikompaun kerana tidak memakai pelitup muka ketika berada di sebuah stesen minyak di Sri Damansara.