Lelaki diperas ugut video aksi lucah

Kuala Lumpur: Bimbang video dirinya sedang melakukan onani tersebar menyebabkan seorang lelaki kerugian RM10,000 selepas menjadi mangsa pemerasan.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, mangsa berusia 23 tahun pada mulanya berkenalan dengan seorang wanita pada 12.45 tengah malam Selasa lalu melalui aplikasi Tantan dan berkongsi ID aplikasi LINE.

Menurutnya, semasa berbual dengan suspek di dalam aplikasi itu, dia diperkenalkan dengan rakan suspek yang lain dan diminta memuat turun satu aplikasi dengan memasukkan kod jemputan.



“Selepas memuat turun aplikasi itu, mangsa dapati telefon bimbitnya tidak berfungsi.

“Kemudian, pada jam 1.30 tengah hari Rabu lalu, mangsa menerima video dirinya sedang beronani yang dihantar oleh suspek melalui aplikasi LINE,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Anuar berkata, mangsa percaya video ini diperolehi oleh suspek daripada memori telefon bimbitnya.





“Dia diugut supaya memasukkan wang ke dalam akuan bank tempatan atas nama seorang lelaki, sekiranya tidak mahu videonya yang sedang beronani tersebar.

“Dia yang ketakutan melakukan empat transaksi bank dengan memindahkan wang berjumlah RM10,000 ke akaun yang diberikan,” katanya.

Beliau berkata, mangsa kemudian membuat laporan polis jam 7.18 malam Rabu lalu.





“Polis Brickfields menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan modus operandi penjenayah melakukan pemerasan wang di era teknologi maklumat dengan menggunakan aplikasi telefon bimbit.

“Sebanyak 20 kes membabitkan jenayah pemerasan sebar gambar dan video lucah bagi tahun 2021 dilaporkan oleh mangsa.

“Oleh yang demikian, segala maklumat peribadi hendaklah disimpan dan tidak didedahkan kepada mana-mana pihak kerana kes penipuan boleh berlaku di mana-mana,” katanya.