Lelaki cuba serang polis maut ditembak

KANGAR: Seorang lelaki yang mempunyai enam rekod jenayah ditembak mati selepas cuba menyerang polis dalam satu kejadian amuk di Jalan Kaki Bukit, Besar semalam.



Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Saifudin Aslin Abbas, berkata kejadian berlaku pada 6.50 petang, selepas sepasukan pegawai dan anggota ke rumah lelaki berusia 55 tahun itu untuk membuat tangkapan susulan laporan berkaitan kes keganasan rumah tangga.

Katanya, sebelum itu pada 2.48 petang, isteri suspek berusia 52 tahun membuat laporan yang mendakwa ditampar, ditarik rambut, dihentak muka ke lantai dan dipijak oleh suspek, selain diacu kapak di leher.

“Mangsa mendakwa diperlakukan demikian selepas menegur suspek yang dilihat bercakap sendirian dalam keadaan marah.




“Susulan itu sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar ke rumah pasangan terbabit jam 5.30 petang untuk membuat tangkapan.

“Bagaimanapun, ketika anggota tiba suspek enggan keluar menyebabkan anggota masuk menerusi tingkap rumah dan didapati suspek sedang memegang sebilah pedang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Saifudin berkata, suspek turut bertindak agresif termasuk cuba membakar rumah dan rambutnya.




Beliau berkata, usaha memujuk suspek berlangsung lebih dari satu jam dengan bantuan anak lelakinya tetapi gagal.

“Suspek semakin agresif dan menyerang polis dengan melibas pedang yang menyebabkan dua anggota cedera di tangan dan kaki serta kepala,” katanya.

Saifudin berkata, tindakan suspek terus menyerang tanpa henti menyebabkan polis terpaksa melepaskan tembakan amaran ke arahnya untuk keselamatan.

“Suspek disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar untuk bedah siasat.
“Anggota polis yang cedera juga dibawa ke hospital sama untuk rawatan,” katanya.

Semakan polis mendapati, suspek mempunyai enam rekod jenayah lampau membabitkan penyalahgunaan dadah, ugutan jenayah, khianat dan kesalahan mengikut Akta Racun 1952.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh penjawat awam.