Kelonggaran SOP individu lengkap dos vaksin diputuskan selepas Aidiladha

KUALA LUMPUR – Kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) bagi mereka yang lengkap dua dos vaksin Covid-19 dan sektor perniagaan diumum selepas Hari Raya Aidiladha.


Perkara itu dimaklumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Terdahulu Kerajaan sedang mempertimbangkan untuk memberi kelonggaran pergerakan kepada individu yang melengkapkan dua dos vaksinasi COVID-19.





Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata langkah itu bagi membolehkan kehidupan rakyat kembali seperti biasa secara berperingkat ketika kerajaan menguruskan pandemik itu.

Sehubungan itu, beliau telah meminta Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) untuk menilai semula kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) kepada individu yang lengkap dua dos suntikan vaksin.





“Mutakhir sekali saya minta jawatankuasa pengurusan untuk menilai semula bagi mereka yang mendapat dua suntikan vaksin supaya diberi kelonggaran.

“Ia sama ada dari segi perjalanan atau pun pergi ke kedai dan makan di restoran. Ini petanda untuk menunjukkan sementara kita menguruskan COVID-19, maka kehidupan rakyat sedikit demi sedikit akan kembali seperti masa lepas,” katanya.