Ibu saudara relakan suami noda anak saudaranya

Melaka: Seorang lelaki tergamak menjadikan anak saudaranya sebagai tempat melampiaskan nafsu apabila dipercayai merogol remaja perempuan itu sejak lebih dua tahun dalam kejadian di rumah mereka di Alor Gajah.

Bagaimanapun tindakan terkutuk lelaki berkenaan yang juga pembekal sate terbongkar selepas remaja berusia 18 tahun itu tampil membuat laporan polis pada Ahad lalu.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, berdasarkan laporan dibuat itu mangsa dikatakan dirogol bapa saudaranya sejak Oktober 2018 dan perbuatan itu diketahui oleh ibu saudaranya yang juga isteri lelaki terbabit.

Beliau berkata, mangsa dijaga oleh adik kepada emaknya sejak berusia 10 tahun selepas ibunya meninggal dunia.

“Kejadian dikatakan berlaku pada Oktober kira-kira jam 5 pagi apabila mangsa dipanggil oleh ibu saudaranya masuk ke bilik untuk memeriksa sama ada remaja terbabit masih dara atau sebaliknya.





“Selepas itu mangsa kemudian disuruh melakukan hubungan seks dengan bapa saudaranya yang juga suami wanita terbabit,” katanya.
Beliau berkata, sejak kejadian itu mangsa kemudian dirogol berulang kali oleh bapa saudaranya.

“Kejadian itu didakwa berlaku dalam pengetahuan ibu saudaranya namun wanita terbabit tidak mempedulikannya.

“Kali terakhir mangsa dikatakan dirogol adalah pada bulan ini sebelum dia tampil membuat laporan polis,” katanya.





Mohd Sukri berkata, bertindak atas laporan diterima tangkapan ke atas ibu saudaranya yang berusia 37 tahun kemudian dilakukan pada hari sama laporan dibuat oleh mangsa.

“Manakala suspek utama yang juga bapa saudaranya berusia 39 tahun pula dibuat kira-kira jam 6 petang pada 22 Julai dan dia kini direman sehingga 29 Julai depan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya.