Hanya ingat mati diterkam ‘pak belang’

GUA MUSANG: Berpantang maut sebelum ajal. Itulah detik dialami Orang Asli, Adin Andok, yang berdepan detik mengerikan apabila diserang harimau, awal bulan ini.

Berkongsi pengalaman itu, Adin, 48, berkata dalam kejadian pada jam 3 petang 4 Julai lalu itu, beliau berada di kebun ubi kayunya seorang diri.


Katanya, apabila sampai di kebun, dia ternampak bekas tapak kaki haiwan dipercayai harimau namun ketika sedang menelitinya, tiba-tiba muncul harimau di depannya lalu menerkam dirinya.

“Saya diterkam harimau hingga terjatuh. Harimau itu turut pijak kaki kiri sambil kukunya mencengkam dada menyebabkan saya tidak dapat bergerak.




“Saya tahan dengan tangan kiri sambil mengambil golok di pinggang. Ketika sedang bergelut untuk menyelamatkan diri daripada cengkaman haiwan itu, saya hanya terbayang kematian.

“Saya nekad sama ada hidup atau mati berdepan dengan kejadian itu. Ketika bergelut, saya sempat menetak kepala harimau dengan golok, menyebabkannya melepaskan cengkaman pada badan saya,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Transit Pesakit Orang Asli di Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis, hari ini.





Akibat serang harimau itu, Adin mengalami kecederaan parah di kepala, dada, mata kiri, kedua-dua lengan dan betis kiri.

Beliau dirawat di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai selama sembilan hari sebelum dibenarkan pulang berehat di Pusat Transit RPS.

Dia yang menetap di Kampung Badak, Pos Bihai kini beransur pulih daripada kecederaan dan mengakui umurnya panjang apabila terpaksa bergelut dengan haiwan ganas itu selama 10 minit.

Susulan kejadian itu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) bertindak memasang perangkap di kawasan sekitar kejadian dan harimau terbabit ditangkap pada 15 Julai lalu.

Adin berkata, peristiwa itu masih segar dalam ingatannya walaupun dia dalam keadaan ‘nyawa-nyawa ikan’ ketika diselamatkan penduduk kampung.

Katanya, dirinya ibarat diberi ‘nyawa kedua’ selepas terselamat daripada akibat serangan haiwan itu.