Dua tahanan penjara lolos ditangkap semula

KUCHING: Dua tahanan yang lolos dari Pusat Transit Penjara Puncak Borneo berjaya diberkas semula pada hari kelima operasi memburu mereka di sekitar kawasan perumahan Batu 11, Padawan hari ini.



Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Aidil Bolhassan yang mengesahkan perkembangan terbaharu itu berkata, kedua-dua tahanan tersebut Mohamad Fikrry Azzarudin Abdullah,26, dan seorang warganegara Indonesia dikenali sebagai Rahmat Simbolan, 38 telah berjaya ditangkap semula petang tadi.

“Kedua-dua suspek telah berjaya ditangkap semula,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo hari ini.

Difahamkan, kedua-dua tahanan terbabit ditangkap Tiger Platoon dari Pasukan Gerakan Am (PGA) di kawasan hutan sekitar perumahan tersebut.
Terdahulu, Aidil memberitahu, Unit Udara Polis Diraja Malaysia dikerahkan ke lokasi pencarian yang tertumpu di sekitar kawasan perumahan Batu 11, Padawan hari ini selepas menerima maklumat daripada orang awam.

Berikutan itu, katanya, kesemua pasukan memburu kedua-dua tahanan terbabit mengepung kawasan tersebut.




Turut sama dalam operasi ialah, Unit K9 IPK Sarawak, Jabatan Penjara Puncak Borneo bersama Unit K9 Penjara Puncak Borneo.

Kedua-dua suspek merupakan tahanan untuk kes di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan (Fikrry) dan 39B Akta Dadah berbahaya 1952 (Rahmat).
Difahamkan kedua-dua tahanan terbabit bersama dua lagi suspek melarikan diri dari Pusat Transit Penerimaan di Penjara Puncak Borneo sekitar jam 5.11 petang Khamis.

Operasi memburu dua tahanan penjara yang masih lolos diperluaskan sehingga ke kawasan Batu 11 Jalan Kuching-Serian.

Keempat-empat suspek dikatakan melarikan diri melalui tingkap tandas dengan merosakkan besi jerijinya dan terus melarikan diri ke dalam hutan berdekatan.





Semasa kejadian, keadaan cuaca hujan lebat serta angin kuat.

Bagaimanapun dua daripada tahanan berjaya ditangkap semula oleh pasukan rondaan penjara iaitu sekitar jam 6.25 petang dan 10.50 malam di kawasan perumahan PR1MA di Kampung Sinar Baru.

Difahamkan Pusat Transit Penerimaan tersebut adalah dikhaskan untuk menempatkan pesalah yang sedang menjalani tahanan reman penjara, sementara menunggu tarikh bicara atau sebutan semula kes.

Susulan itu, ‘Op Tutup’ juga telah dilancarkan di semua sekatan jalan raya di setiap sempadan daerah yang sedia ada.