CITF siasat dakwaan individu disuntik picagari kosong di PPV

KUALA LUMPUR – Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) sedang menyiasat dakwaan mengenai beberapa individu disuntik dengan picagari kosong di pusat pemberian vaksin (PPV) Covid-19 di Kedah, Kuala Lumpur dan Selangor, yang tular di media sosial baru-baru ini.

Menerusi kenyataan pada Isnin, CITF berkata, siasatan dijalankan dengan kerjasama pihak berkuasa, termasuk Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), agar kejadian seumpama itu tidak berulang.



Tegas CITF, petugas vaksinasi yang didapati bersalah akan dikenakan tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang, malah perkhidmatan petugas yang terlibat boleh ditamatkan.

“Mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, setiap petugas vaksinasi perlu menunjukkan picagari yang berisi vaksin kepada penerima vaksin sebelum suntikan dilakukan.





Orang ramai juga disarankan untuk melihat picagari tersebut sebelum dan selepas proses vaksinasi bagi menambah keyakinan bahawa dos dan suntikan vaksin telah diberikan seperti yang sepatutnya,” menurut kenyataan itu.

Menurut CITF, kes di Kedah dilaporkan pada Sabtu lepas di PPV pandu lalu di Kem Lapangan Terbang Sungai Petani yang dikhaskan untuk anggota ATM dan ahli keluarga.




Proses vaksinasi di PPV berkenaan dilaksanakan oleh petugas daripada Rumah Sakit Angkatan Tentera (RSAT) di kem itu.

“ATM telah membuat siasatan mengenai kejadian tersebut dan individu terlibat telah dipanggil untuk memberi penjelasan. Tindakan tatatertib telah diambil ke atas petugas vaksinasi tersebut,” katanya.