Bekas ratu cantik tumbuk polis didakwa

Petaling Jaya: Bekas ratu cantik negara ditahan selepas bertindak menumbuk anggota polis dan merempuh sekatan jalan raya (SJR) di Lebuhraya Persekutuan, di sini, hari ini.


Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, suspek berusia 28 tahun berkenaan bertindak agresif dipercayai akibat mabuk.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata, wanita berkenaan memandu kenderaan bersama rakannya dari arah Kuala Lumpur menghala ke Petaling Jaya.




“Namun sebaik tiba di SJR Lebuhraya Persekutuan, suspek tidak memberhentikan kenderaan dan merempuh sekatan berkenaan.
“Susulan itu, anggota kereta peronda polis (MPV) mengejar kenderaan suspek sebelum berjaya menahannya,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Mohamad Fakhruddin berkata, suspek bagaimanapun menumbuk anggota polis berkenaan ketika cuba ditahan.




“Turut cedera adalah rakannya akibat dipukul suspek yang dipercayai mabuk. Wanita berkenaan berjaya ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk tindakan lanjut.

“Suspek kini ditahan reman selama dua hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 26 (2) Akta Polis, Seksyen 353 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya.

Beliau berkata, hasil saringan awal ujian air kencing terhadap suspek dan rakannya mendapati mereka positif ganja.