Agong amat dukacita, pembatalan Ordinan Darurat belum diperkenan

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa amat dukacita dengan pengumuman kerajaan berkenaan pembatalan semua Ordinan Darurat kerana ia belum diperkenankan baginda.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan hari ini berkata, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa amat dukacita kerana apa yang telah diperkenan dan dititahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus bin Harun, semasa majlis menghadap secara maya 24 Julai lalu bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan, telah tidak dilaksanakan.



“Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa kenyataan Yang Berhormat Menteri di Parlimen pada 26 Julai adalah tidak tepat dan telah mengelirukan Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

“Seri Paduka Baginda turut menegaskan bahawa permohonan pembatalan semua Ordinan Darurat berkuat kuasa pada 21 Julai 2021 yang telah dilakukan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen dan kenyataan yang bercanggah serta mengelirukan di Parlimen bukan sahaja gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang yang terkandung dalam Rukun Negara malah telah membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka Baginda selaku Ketua Utama Negara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan itu.

Ahmad Fadil berkata, Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa dalam pemerintahan Raja Berperlembagaan dan sistem Demokrasi Berparlimen bertunjangkan prinsip keluhuran perlembagaan, semua pihak perlu mematuhi kedaulatan undang-undang.




“Perkara 150(2B) dibaca dengan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan secara jelas memperuntukkan kuasa penggubalan dan pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat terletak pada Seri Paduka Baginda,” tegasnya.

Beliau berkata, Seri Paduka Baginda juga sedia maklum akan perlunya Baginda bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri seperti terkandung dalam Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan.

Namun katanya, Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa Baginda, selaku Ketua Utama Negara mempunyai kewajipan untuk menyampaikan nasihat dan teguran jika berlaku sebarang tindakan yang tidak berperlembagaan oleh mana-mana pihak, khususnya mereka yang melaksanakan fungsi dan kuasa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.





Sementara itu, Ahmad Fadil berkata, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada pihak kerajaan di atas pelaksanaan persidangan Parlimen yang bermula Isnin lalu.

Katanya, ini sejajar dengan saranan Raja-Raja Melayu dalam Perbincangan Khas yang telah diadakan pada 16 Jun lalu supaya persidangan Parlimen dapat diadakan sebelum tamatnya tempoh Darurat.

“Seri Paduka Baginda turut mengambil kesempatan ini menyeru rakyat untuk bersama mendoakan agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT, dijauhi dari sebarang musibah dan wabak COVID-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera,” katanya.

Dalam Mesyuarat Khas Dewan Rakyat, Isnin lalu, Takiyuddin mengumumkan kerajaan memutuskan untuk tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menyambung Proklamasi Darurat yang akan tamat pada 1 Ogos ini.

Beliau berkata, kerajaan juga memutuskan berdasarkan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan, semua ordinan yang telah dibuat sepanjang tempoh Proklamasi Darurat dibatalkan berkuatkuasa 21 Julai lalu.