3 petugas kesihatan tidak sedarkan diri dalam ambulan

PORT DICKSON: Tiga petugas Klinik Kesihatan Bukit Pelandok, Chuah dekat sini tidak sedarkan diri ketika tiba di Hospital Port Dickson dekat sini, pagi tadi ketika membawa rakan mereka yang rebah di klinik kesihatan tersebut.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pada awalnya, pasukan bomba menerima panggilan pada pukul 9.30 pagi yang memaklumkan terdapat kebocoran gas di klinik kesihatan berkenaan dan anggotanya ke lokasi bagi pemeriksaan.



Menurutnya, hasil pemeriksaan bagaimanapun mendapati tiada kebocoran gas berlaku di premis tersebut.

“Kami difahamkan, seorang petugas klinik tersebut yang merupakan lelaki berusia 29 tahun telah rebah di foyer klinik sebelum tiga rakan sekerjanya membantu membawanya ke hospital menggunakan sebuah ambulans.

“Bagaimanapun sebaik sahaja tiba di hospital kesemua mangsa didapati pengsan dan tidak sedarkan diri,” katanya ketika ditemui pemberita di klinik kesihatan tersebut.





Sementara itu, Pakar Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) Negeri Sembilan, Timbalan Penguasa Bomba, Mohammad Idris berkata, pihaknya mempercayai berlaku kebocoran gas di dalam ambulans.

“Apabila kakitangan hospital membuka pintu belakang ambulans didapati kesemua tiga petugas kesihatan itu dan pesakit tidak sedarkan diri. Turut sama berada dalam ambulans tersebut pemandu dan jururawat yang duduk di bahagian hadapan.





“Bagaimanapun bomba masih mengenal pasti punca kejadian namun mempercayai berlaku kebocoran gas dalam ambulans kerana kejadian sama berlaku semalam melibatkan seorang petugas kesihatan yang turut pengsan ketika menaiki ambulans yang sama,” katanya lagi.

Jelas beliau, pesakit yang menaiki ambulans tersebut disahkan meninggal dunia ketika tiba di hospital manakala tiga petugas yang lain itu kini berada dalam keadaan stabil. – UTUSAN