Tuan rumah, jurugambar kenduri kahwin dikompaun RM2,000

BUTTERWORTH: Kegembiraan sebuah keluarga di sini meraikan majlis perkahwinan anak lelaki mereka menerima padah selepas tuan rumah dan seorang jurugambar masing-masing dikenakan kompaun RM2,000.


Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, polis yang menjalankan pemeriksaan di rumah berkenaan kira-kira pukul 1 petang semalam mendapati seramai 20 orang berkumpul di dalam rumah berkenaan bagi meraikan majlis tersebut.

Menurutnya, majlis tersebut membabitkan 19 ahli keluarga dan seorang jurugambar berusia 16 hingga 50 tahun.





Jelasnya, kompaun itu dikeluarkan selepas pihaknya memandangkan penganjuran sebarang majlis tidak dibenarkan ketika ini kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

“Kita berasa kesal kerana masih ada individu yang gagal mematuhi SOP PKP dan bersikap mementingkan diri sendiri tanpa menghiraukan situasi semasa jangkitan Covid-19 ketika ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.





Dalam perkembangan sama Noorzainy berkata, pihaknya semalam turut mengeluarkan sebanyak 41 kompaun berkaitan kesalahan melanggar SOP PKP.

Daripada jumlah itu katanya, sembilan kompaun dikeluarkan terhadap individu yang cuba merentas daerah dan negeri tanpa kebenaran polis.

“Polis mengingatkan orang ramai yang mana kita tidak akan berkompromi dengan kesalahan melibatkan pelanggaran SOP PKP kerana kedegilan mereka akan menyukarkan lagi usaha memutuskan rantaian Covid-19 dalam kalangan masyarakat,” katanya. – UTUSAN