Penjaga gol Myanmar enggan pulang, pohon suaka

Tokyo: Penjaga gol skuad kebangsaan Myanmar yang melakukan simbol anti junta tentera ketika perlawanan di luar Tokyo enggan untuk pulang ke negaranya dan meminta suaka di Jepun.



Myanmar bergolak sejak Februari lalu selepas junta tentera menggulingkan Aung San Suu Kyi, menyebabkan protes besar-besaran dan mencetuskan kembali perbalahan antara tentera dengan pemberontak.

Bulan lalu, penjaga gol simpanan, Pyae Lyan Aung mengangkat simbol tiga jari ketika lagu negaranya dimainkan sebelum aksi kelayakan Piala Dunia menentang Jepun.




Rabu lalu, dia memberitahu imigresen Jepun di lapangan terbang di Osaka dia tidak akan menaiki kapal terbang untuk pulang ke Myanmar.

“Jika saya pulang semula ke Myanmar, nyawa saya dalam bahaya. Saya mahu tinggal di Jepun.

“Kerajaan dan rakyat Jepun harus mengetahui situasi di Myanmar. Saya meminta kerjasama anda,” katanya.

Simbol tiga jari sering digunakan sebagai tanda penentangan oleh penunjuk perasaan ketika melakukan demonstrasi sehingga ditindas dengan kejam menyebabkan 800 kematian dan ribuan lagi cedera.




Pemain bola sepak itu berkata, dia tidak akan pulang sehingga kepimpinan Aung San Suu Kyi kembali berkuasa.

“Jika ia mendatangkan bahaya kepada rakan sepasukan atau ahli keluarga saya, saya akan pulang dan menyerah diri kepada pihak berkuasa,” katanya.

Agensi imigresen Jepun tidak dapat dihubungi untuk memberi komen mengenai perkara itu.