Malaysia keluar nota bantahan, panggil Duta Besar China

Kuala Lumpur: Kementerian Luar akan mengeluarkan nota diplomatik kepada kerajaan China bagi membantah pencerobohan pesawat tentera udara China yang memasuki ruang udara Malaysia.


Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam kenyataan malam ini berkata, kementerian juga akan memanggil Duta Besar China ke Malaysia untuk memberi penjelasan berhubung pelanggaran ruang udara dan kedaulatan Malaysia oleh 16 pesawat milik Tentera Udara Republik Rakyat China (PLAAF).

“Pendirian Malaysia jelas – mempunyai hubungan diplomatik yang mesra dengan mana-mana negara tidak bermakna kami akan berkompromi dengan keselamatan negara kita. Malaysia tetap teguh mempertahankan maruah dan kedaulatan kita,” katanya.





Hishammuddin juga berkata, beliau akan menyampaikan kebimbangan serius Malaysia mengenai perkara itu kepada rakan sejawatnya di China.

Hari ini, Panglima TUDM Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad berkata Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) semalam, mengesan 16 pesawat PLAAF memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia (ZMM), Kota Kinabalu Flight Information Region (FIR) dan menghampiri ruang udara nasional.

Beliau berkata, penerbangan mencurigakan pesawat PLAAF itu dikesan oleh Radar Pertahanan Udara TUDM dari Pusat Pertahanan Udara di Sarawak pada 11.53 pagi.

Sementara itu Kedutaan Besar China di Malaysia mendakwa tindakan 16 buah pesawat tentera republik itu memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia, Kota Kinabalu dan menghampiri ruang udara nasional pada Isnin sebagai latihan penerbangan biasa.





Jurucakap kedutan itu berkata, kesemua 16 pesawat Tentera Udara China (PLAAF) tersebut tidak langsung menyasarkan mana-mana negara.
“Menurut undang-undang antarabangsa, kapal terbang tentera China itu hanya menikmati kebebasan penerbangan di ruang udara berkenaan.

“Malah, sepanjang latihan tersebut, pesawat tentera China itu mematuhi undang-undang antarabangsa yang berkaitan dan tidak memasuki ruang udara wilayah mana-mana negara lain.

Dakwanya, tiada apa yang perlu dicurigakan kerana Malaysia dan China adalah ibarat jiran yang mesra.

“China dan Malaysia adalah negara jiran yang ramah mesra, dan China bersedia untuk meneruskan rundingan persahabatan dua hala dengan Malaysia untuk bersama-sama menjaga keamanan dan kestabilan serantau,” dakwanya lagi.